SAVU, Indonesia – Penduduk tempatan di
sebuah pulau terpencil di timur Indonesia semalam melapah beberapa ekor
ikan paus pilot untuk dijadikan makanan selepas 41 ekor mamalia itu mati
terdampar, kata beberapa pegawai.
Sejumlah 44 ekor ikan paus pilot
terdampar pada malam kelmarin di pantai Pulau Savu di wilayah Nusa
Tenggara Timur, yang mengamalkan budaya memburu paus untuk dijadikan
makanan.
“Penduduk tempatan telah memotong
kira-kira 11 ekor ikan paus setakat ini dan mungkin dagingnya dijadikan
lauk,” kata ketua pejabat perikanan Savu, Dominggus Widu Hau kepada
agensi berita AFP.
Ketika nelayan tempatan menjumpai
paus-paus itu sebelum tengah malam kelmarin, ia masih hidup. Namun,
sudah terlewat dan orang tidak cukup untuk menolaknya kembali ke laut.
Berpuluh-puluh orang termasuk nelayan,
tentera laut dan pegawai polis bertungkus-lumus sehingga tengah hari
semalam untuk memastikan tiga ekor paus yang terselamat terus hidup.
“Kami berjaya menolaknya kembali ke kawasan perairan, tetapi ia kembali ke pantai,” tambah Hau.
Rangkaian Bantuan Haiwan Jakarta mengenal pasti mamalia yang terdampar kira-kira 150 meter dari pantai sebagai ikan paus pilot.
Kata Hau, semua ikan puas yang terdampar itu berukuran antara dua hingga lima meter panjang .- AFP
Sumber,